Oleh: Selwam Arjunan
BATU UBAN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket penyeludupan senjata api di Perairan Perai, petang semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, susulan itu empat suspek dipercayai nelayan, iaitu dua lelaki tempatan dan dua warga Indonesia ditahan.
Katanya, operasi dilakukan Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban pada satu batu nautika dari barat daya Sungai Perai kira-kira jam 3.10 petang.
“Polis Marin telah menahan dua buah bot fiber gentian kaca tidak bernombor pendaftaran yang mencurigakan bergerak dari arah Pelabuhan Pulau Pinang menuju ke Jambatan Pertama Pulau Pinang.
“Pihak polis telah menghampiri dua buah bot berkenaan dan mengarahkannya berhenti untuk diperiksa dan hasil pemeriksaan telah menahan dua lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan berusia antara 22 tahun hingga 57 tahun.
“Hasil pemeriksaan pihak polis telah merampas selaras senapang M4, lima pucuk pistol jenama Sig Sauer, Glock dan Smith & Wesson serta 801 peluru pelbagai jenis.
“Turut dirampas, pelbagai peralatan telekomunikasi, wang tunai RM4030 dan dua bot gentian kaca yang disewa,” katanya dalam sidang media di Markas Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban, petang tadi.
Seorang suspek tempatan memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan tangkapan ketum, manakala tiga lagi tidak memiliki rekod jenayah.
Katanya, berdasarkan siasatan awal dua lelaki warga Indonesia didapati memasuki negara secara sah dan melakukan kegiatan penyeludupan senjata bersama dua lagi suspek tempatan.
“Senjata berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand menerusi jalan laut perairan antarabangsa dengan tujuan digunakan dalam kegiatan jenayah di Malaysia.
“Suspek dipercayai ahli sindiket yang menjual senjata api kepada penjenayah yang terbabit kegiatan haram.
“Mereka dipercayai menjalankan kegiatan jual beli senjata api ini buat kali pertama, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Ini adalah kes terpencil dan tiada kaitan dengan kacau ganggu Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 atau perayaan Tahun Baharu Cina, Thaipusam atau ,” katanya lagi.
Tambahnya, polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli sindiket terlibat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 kerana berdagang senjata api yang membawa hukuman mati atau dengan pemenjaraan seumur hidup dan sebatan enam kali.
Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 28 Januari hingga 3 Februari.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.