comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket perjudian antarabangsa guna pakar sains komputer digempur 

SUBANG JAYA: Polis Selangor berjaya membongkar sindiket perjudian antarabangsa dalam satu serbuan di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya pada 18 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, serbuan dijalankan di sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan sindiket terbabit kira-kira jam 3.15 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Subang Jaya.

Hasil serbuan, 84 individu berusia antara 23 hingga 43 tahun berjaya ditahan dipercayai pekerja sindiket berkenaan.

Daripada jumlah itu, seramai 83 adalah warga tempatan.

“Dalam serbuan tersebut pihak polis telah tangkap 84 orang terdiri daripada 83 warganegara dan 1 bukan warganegara.

“Daripada jumlah itu 62 orang adalah lelaki, 22 orang perempuan, kesemua mereka berkelulusan Sains Komputer, mereka digajikan untuk bekerja sindiket perjudian ini,” jelasnya dalam sidang media di IPD Subang Jaya hari ini.

Dalam serbuan itu, turut dirampas 105 telefon bimbit, 94 buah komputer riba, enam buah kenderaan mewah dan wang tunai berjumlah RM15,849.

Siasatan lanjut mendapati pusat perjudian antarabangsa itu dipercayai telah beroperasi setahun lalu di kawasan berkenaan dan dipercayai telah mengaut keuntungan sehingga RM20 juta dalam tempoh setahun.

“Pusat ini telah beroperasi sejak tahun lepas, dan sindiket ini membayar gaji pekerja sahaja RM320,000 sebulan. Kita menganggarkan hasil perjudian ini keuntungan sindiket ini RM20 juta setahun.

“Hasil siasatan lanjut, sindiket ini sediakan satu platform perjudian untuk pasaran beberapa negara lain, Thailand, Brazil, China dan Vietnam dan platform permainan digunakan seperti Apexplay,Play168, 168KJW, Betace dan Sealotto.

“Ini adalah permainan digunakan sindiket ini untuk digunakan di negara berkaitan untuk perjudian. Sindiket (ini) juga mempunyai hubungan dengan negara-negara berkaitan (untuk) menggunakan platform untuk perjudian berkenaan,” katanya lagi.

Jelasnya, polis telah mengenal pasti dalang sindiket berkenaan dan akan mengambil tindakan susulan dalam masa terdekat.

Kesemua suspek yang ditahan, direman selama empat hari sehingga 22 Mac ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a),4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 bagi setiap mesin perjudian dan penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini