comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket perjudian kaut untung RM60,000 sebulan tumpas 

KUCHING: Sindiket perjudian dalam talian di sini tumpas selepas kegiatan itu terbongkar dengan penangkapan seorang lelaki tempatan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, berkata sindiket terbabit dikesan mampu mengaut keuntungan sehingga RM60,000 sebulan hasil kegiatan yang dijalankan sejak lima bulan lalu.

Beliau berkata, lelaki berusia 20 tahun itu disyaki operator pengendalian perjudian yang menjadikan sebuah premis di kawasan Jalan Stutong Baru, sebagai tempat operasi.

“Berdasarkan rekod dan transaksi, sindiket dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM2,000 sehari dan boleh mencecah sehingga RM60,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, turut dirampas satu unit komputer riba, router dan modem, empat unit telefon bimbit dan peralatan lain.

“Siasatan awal mendapati pusat berkenaan mula beroperasi sejak Ogos 2023 dan mereka mempromosikan perjudian dalam talian adalah melalui panggilan telefon, WhatsApp, WeChat, Telegram dan Facebook,” katanya.

Menurutnya lagi, suspek kini ditahan reman sehingga Isnin ini dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun, selain dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

“Polis juga masih giat mengesan pemilik sebenar premis berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini