comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket seleweng minyak diesel tumpas, 15 individu ditahan

Foto hiasan

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan  sindiket penyelewengan minyak diesel sebuah syarikat minyak hasil penahanan 15 individu di beberapa negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata tangkapan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan hasil siasatan dan risikan PDRM serta syarikat minyak berkenaan, penyelewengan dikesan giat dilakukan di kawasan pantai timur.

Serentak itu, satu operasi bersepadu dilancarkan bermula 21 Ogos lalu bagi mengesan dan menangkap suspek yang terlibat.

Hasil operasi 15 suspek warga tempatan berusia dalam lingkungan 29 hingga 52 tahun ditahan.

Turut dirampas, dua buah kenderaan, 16 telefon bimbit, 17 set dokumen, 16 pek kad sim, dua unit pengukur  kedalaman tangki minyak, 1 kad pelaut, 1 gasoline gauging paste, tiga cop syarikat dan dua komputer riba.

Berdasarkan siasatan  kegiatan itu dilakukan sejak tahun 2021 dan mengakibatkan kerugian kepada syarikat minyak berkenaan sebanyak RM13.5 juta sehingga Februari tahun ini.

Sindiket itu dianggotai oleh individu dari pelbagai kelas jawatan dalam bidang perkapalan dan dikesan menjual semula baki minyak diesel yang diperuntukkan untuk setiap kapal logistik marin kepada pembeli-pembeli secara haram.

Harga jualan yang ditawarkan adalah sekitar RM1.80 hingga RM1.98 per liter.

Hasil jualan kemudian akan diagihkan antara krew yang bertugas pada masa tersebut.

Kesemua suspek direman selama 7 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Jelas Datuk Seri Ramli, pihaknya masih meneruskan siasatan untuk menilai sejauh mana kegiatan jenayah itu berleluasa dan mengenal pasti mereka yang terlibat.

Loading...
Terkini