comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket seludup PATI tumpas, 3 ‘transporter’ bersama 68 PATI ditahan

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia hasil operasi khas ‘Op Gelombang 3’ di Terminal Bas Kota Bahru, Kelantan.

Seramai 68 warga asing ditahan selain tiga warga tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’ bagi sindiket tersebut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan berkata serbuan dijalankan jam 3.30 pagi 14 Jun lalu oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Putrajaya dan JIM Kelantan.

Kesemua 68 PATI yang ditahan berusia antara 10 hingga 62 tahun, baru tiba dari negara jiran dan dipercayai cuba bekerja secara haram di negara ini.

Tangkapan membabitkan 21 warga Myanmar, Pakistan (2), Bangladesh (3), Indonesia (10), Vietnam (6), dan India (26).

Berdasarkan maklumat risikan selama 2 bulan, modus operandi sindiket adalah menyeludup PATI melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Kesemua mereka akan dibawa ke destinasi tertentu ke luar Kelantan dan Lembah Klang.

Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke negara ini dan telah aktif sejak enam bulan lalu.

Manakala ‘transporter’ menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap PATI yang diangkut dari sempadan ke terminal bas itu.

Tiga buah kenderaan dianggarkan bernilai RM50,000 turut disita.

Kesemua PATI ditahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Manakala tiga lelaki warga tempatan direman selama 6 hari.

Loading...
Terkini