comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket seludup warga asing: Dalang utama ditahan, akan didakwa bulan depan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menunjukkan barang sitaan dalam Op Pump dan Op Setting.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menahan dalang utama bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi laluan kaunter khas (counter setting) yang meloloskan diri sebelum ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suspek yang juga pegawai kanan Jabatan Imigresen (JIM) ‘berpengaruh’ berusia 40-an ditahan pada 5 September lalu.

“Itu yang antara seorang kita tahan (dalang utama), dia mengawal lebih kurang 50 pegawai (Imigresen) sebab dia yang berpengaruh.

“Dia menjadi ‘focal person’ (individu utama) untuk menjadi perantara terhadap hampir semua pegawai Imigresen supaya melaksanakan apa yang diarahkan oleh dia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Menurutnya, dalang utama itu akan didakwa di mahkamah awal bulan depan.

Sebelum ini, media melaporkan, SPRM sedang memburu pegawai tersebut yang menjadi dalang dalam sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi laluan kaunter khas.

Azam dilapor berkata, pegawai terbabit disyaki sudah melarikan diri sebaik saja operasi siasatan kes itu bermula, namun dipercayai masih berada di dalam negara.

Terdahulu, SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing, termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Mengulas lanjut, Azam menjelaskan, menerusi Op Pump, Op Setting dan Op Pump 2.0 yang dijalankan masing-masing pada 20 Ogos, 29 Ogos serta 12 September lalu, seramai 60 individu ditahan.

Mereka terdiri daripada 49 penguat kuasa daripada JIM termasuk seorang anggota wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan serta 10 ejen sindiket.

Tambahnya, sebanyak 37 kertas siasatan dibuka dengan 95 individu telah diambil keterangan setakat ini dan akan memanggil saksi lain untuk melengkapkan siasatan.

Menurut Azam, seorang ejen warga Myanmar telah dituduh pada 28 Ogos lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor manakala empat lagi ejen sindiket akan dituduh dalam masa terdekat.

Ujar beliau, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi baki individu yang ditahan.

“Daripada jumlah yang kita tahan dalam siasatan ini, ada yang boleh dituduh di mahkamah akan dicadangkan untuk pertuduhan. Bagi pegawai Imigresen yang mana butiran lengkap tapi tidak boleh dituduh di mahkamah akan dicadangkan tindakan tatatertib kepada JIM supaya diambil tindakan bagi menunjukkan bagaimana tindakan punitif boleh diambil terhadap mereka supaya perkara ini tidak berulang lagi.

“Bila melibatkan kes rasuah ini, dua elemen penting kita perlu buktikan. Pertama, sudah pasti adalah penerima. Katakan pegawai Imigresen ini ada beberapa keterangan tentang dia menerima (rasuah) tapi kita perlu buktikan siapa pemberi.

“Ada kes yang mana mereka ada wang yang kita perolehi tapi kita perlu membuktikan siapa memberi (rasuah) sebab dalam pertuduhan kes rasuah mesti disebut tentang penerima rasuah dan daripada siapa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini