comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket seludup warga Pakistan, sasar kahwin wanita tempatan tumpas

PETALING JAYA: Lelaki Pakistan yang mensasarkan wanita tempatan untuk dijadikan isteri dan licik mendalangi sindiket penyeludupan manusia menerusi sempadan negara di Kelantan sejak Mei tahun lalu, akhirnya diberkas, Isnin lalu .

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek bersama tujuh lagi rakan senegaranya dicekup dalam serbuan Op Gelombang IV di beberapa lokasi di Kelantan.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif membawa masuk warga Pakistan ke dalam negara untuk bekerja secara haram dan mensasarkan wanita  tempatan sebagai isteri.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Pakistan yang menaiki pesawat dan mendarat di Thailand.

“Kemudian mereka akan dibawa melalui pangkalan haram melintasi sempadan Malaysia -Thailand dan mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Op Gelombang IV yang bermula jam 9 pagi itu dijalankan sepasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Kelantan.

Ruslin berkata, berdasarkan maklumat risikan, dua pasukan digerakkan ke dua lokasi bagi memintas kenderaan dinaiki suspek dan PATI yang dipercayai baru diseludup.

“Pasukan operasi berjaya memintas kenderaan yang dinaiki oleh sindiket ini di Pasir Mas, Kelantan dan menahan tiga orang lelaki Pakistan yang yang terdiri daripada transporter dan PATI yang diseludup masuk.

“Pasukan kedua pula menahan lima lelaki Pakistan termasuk dalang utama dalam serbuan di sebuah kediaman di Pasir Tumboh, Kota Bharu di Kelantan disyaki dijadikan sebagai transit,” katanya.

Lapan warga Pakistan yang ditahan berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Ruslin berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM2,000, pasport Pakistan tidak mempunyai cap masuk (lapan) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta sedan disyaki digunakan untuk menyeludup.

Semua PATI yang diseludup akan dihantar ke beberapa destinasi tertentu antaranya sekitar Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru dipercayai untuk bekerja.

“Dalang utama sindiket ini adalah pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Suami Kepada Warganegara manakala transporter berkenaan adalah pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku.

“Dalang dan transporter terbabit ditahan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala enam PATI ditahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966,” katanya.

Loading...
Terkini