comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sindiket tawar khidmat seks songsang digempur, enam warga asing ditahan

PETALING JAYA : Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket perkhidmatan seks songsang warga asing hasil penahanan enam lelaki warga asing dalam satu operasi khas yang dijalankan di ibu negara.

Siasatan awal mendapati selain menawarkan khidmat urutan kepada lelaki, suspek juga menyediakan perkhidmatan seks songsang kepada pelanggan lelaki

Dalam satu kenyataan, Jabatan Imigresen memaklumkan operasi melibatkan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bermula pada jam 7.15 malam Selasa lalu.

Pasukan operasi telah menyerbu premis 2 tingkat dan menahan seramai enam orang lelaki warga asing yang bekerja sebagai tukang urut dan penjaga premis.

Turut berada di premis semasa serbuan ialah beberapa orang pelanggan warga tempatan.

Warga asing yang ditahan terdiri daripada lima orang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar yang berusia antara 26 hingga 38
tahun.

Salah seorang lelaki Indonesia tersebut adalah penjaga premis ataupun dikenali sebagai ‘Daddy’ kepada semua tukang urut.

Pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan, Pas
Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh dan ada yang menyalahgunakan pas.

Sindiket itu dipercayai telah mula beroperasi sejak tahun lalu dan modus operandi sindiket itu ialah mengiklankan pakej urutan khas untuk lelaki di kumpulan laman sosial, kumpulan WhatsApp dan kumpulan Telegram.

Pelanggan yang berminat akan menghubungi nombor telefon yang dinyatakan dan akan dikongsikan gambar-gambar seksi tukang urut lelaki bagi membuat pilihan tukang urut serta pilihan pakej khas urutan.

Bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan urut adalah RM200 hingga RM300 untuk tempoh satu jam bergantung kepada ‘pakej’ yang dipilih oleh pelanggan.

Sindiket berkenaan dipercayai telah mengaut keuntungan sebanyak hampir RM650,000 hasil daripada perkhidmatan urut dan seks songsang.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Manakala seramai tujuh pelanggan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi
membantu siasatan.

Loading...
Terkini