comscore
Tumpuan :
Jenayah

Skim penipuan pelaburan Planetrade tumpas

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Skim penipuan pelaburan Planetrade tumpas apabila tiga lelaki dan enam wanita tempatan termasuk seorang pengarah syarikat yang mengendalikan skim berkenaan ditahan Polis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dalang utama kes berkenaan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, manakala pengarah syarikat itu dituduh di bawah Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, tujuh lagi dibebaskan dan menjadi saksi pendakwaan.

“Ada antara yang ditahan adalah pelabur atau mangsa skim yang berperanan sebagai ‘authorised introducer’ iaitu menerima komisen bagi setiap pelabur yang dibawa masuk ke dalam skim itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sejak Januari 2021 hingga kini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah menerima 92 laporan polis berkaitan skim penipuan pelaburan itu dengan nilai kerugian RM17,547,414.50.

Noorsiah berkata, polis juga berjaya membekukan aset merangkumi 27 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM700,533.47, enam kenderaan anggaran nilai RM1,165,800 dan 11,000,000 unit saham di empat syarikat yang berkaitan.

Sementara itu, beliau turut menggesa sekiranya terdapat lagi individu yang telah menjadi mangsa skim pelaburan berkenaan untuk tampil segera membuat laporan polis.

Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa terdapat kira-kira 300 mangsa penipuan skim pelaburan berkenaan masih belum membuat laporan polis kerana diugut pihak tertentu bahawa mereka akan turut ditangkap dan direman. – Bernama

Loading...
Terkini