comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sorok 102.9kg ganja dalam kubur Cina

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid (kiri) menunjukkan antara dadah jenis ganja yang dijumpai disorokkan dalam sebuah kubur Cina.- Foto: NSTP

GEORGE TOWN: Sorok dadah dalam kubur Cina. Kononnya kerana mahu mengelak dikesan pihak berkuasa. Namun sebaik dua anggota sindiket itu ditahan, semuanya terbongkar.

Sebanyak 100 bungkusan mampat ganja seberat 102.9kg dijumpai dalam kubur Cina di Mount Erskine, Pulau Tikus di sini.

Dadah disorok dalam sebuah lubang yang dikorek sedalam kira-kira 60 sentimeter di sebuah kubur Cina lama dan jauh dari kawasan perkuburan baharu di situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Razlam Ab Hamid berkata dalam serbuan pada Rabu dan Khamis lalu itu, pihak polis pada mulanya menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di tepi jalan di kawasan Estate Hong Seng pada 4 petang dan merampas ganja seberat 7.82 gram (g) bersamanya.

“Polis kemudiannya menahan seorang lelaki berumur 35 tahun kira-kira 300 meter dari tempat suspek pertama ditahan dan merampas ganja serta syabu bernilai hampir RM10,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya lelaki kedua itu seterusnya membawa pasukan polis ke sebuah pondok dalam hutan di perkampungan Estate Hong Seng dan polis merampas 45 bungkusan ganja mampat seberat hampir 50 kilogram (kg) di situ.

Razlam berkata kesemua ganja bernilai RM154,869 itu disembunyikan dalam dua guni dan disimpan di pondok tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya hasil soal siasat, lelaki pertama yang ditahan itu kemudiannya membawa pihak polis ke kawasan tanah perkuburan Cina di situ, bagi menunjukkan tempat ganja seberat 102.9kg itu disorokkan.

Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM496,088.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki itu dipercayai daripada rangkaian sindiket yang sama dan mereka bergiat aktif menjalankan kegiatan itu sejak Disember lepas.

Katanya mereka dipercayai mendapat bekalan ganja dari negara jiran dan semua ganja tersebut adalah untuk pasaran tempatan.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini