comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sorok dadah dalam bilik simpanan alat pemadam api pangsapuri

PETALING JAYA: Polis menumpaskan dua sindiket dadah yang bergerak aktif di sekitar ibu negara hasil beberapa serbuan pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata sebahagian dadah berkenaan ditemui disorok dalam bilik simpanan alat pemadam api bomba di sebuah perumahan awam di ibu negara.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata menerusi OP EVODIA yang dilancarkan pada jam 3 petang hingga 7 malam Rabu lalu, pihaknya berjaya menahan empat lelaki dan merampas sejumlah heroin.

Serbuan dilakukan di kawasan lorong di Taman Connought, Cheras itu, polis turut memeriksa sebuah kereta di kawasan taman permainan di lokasi berkenaan.

Hasilnya polis menemui dadah jenis heroin seberat 12.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM191,000.

Turut dirampas sejumlah barang kemas bernilai RM15,000, wang tunai RM700 dan sebuah kereta.

Semakan mendapati keempat-empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan tiga daripada mereka positif dadah.

Tambah Datuk Azmi, lanjutan daripada serbuan pertama, seorang lagi suspek berusia 30 tahun ditahan hasil OP FIREBALL yang dijalankan semalam di Jalan San Peng.

Hasil pemeriksaan, polis merampas 1 kilogram ganja bernilai RM3,000.

Pemeriksaan kemudian dilakukan di sebuah bilik simpanan alat pemadam api bomba di sebuah perumahan awam di Jalan San Peng dan menemui 5 kilogram ganja bernilai RM15,000.

Kedua-dua sindiket dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah secara berasingan sejak tiga bulan lalu.

Semua dadah yang dirampas itu diperolehi daripada pembekal di sekitar Lembah Klang dan untuk pasaran di ibu negara.

Semua suspek direman sehingga 1 Februari depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

Loading...
Terkini