comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM reman penjawat awam disyaki peroleh suapan RM50,000

MIRI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menahan reman seorang penjawat awam di daerah ini kerana disyaki memperoleh suapan bernilai kira-kira RM50,000 daripada beberapa buah syarikat kontraktor.

Menurut sumber, suapan terbabit dipercayai diberi kepada suspek sebagai upah dan dorongan kerana memperakukan kerja-kerja pembinaan di sekitar daerah berkenaan.

“Suspek yang merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 30an ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di sebuah lokasi di daerah negeri berkenaan,” katanya.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Miri pagi tadi dan perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 11Julai 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Randu Rangen.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2020 hingga 2021 dengan memperoleh suapan secara pindahan wang ke akaun bank miliknya.

“Kesemua wang rasuah tersebut diperolehi daripada 10 syarikat kontraktor sebagai upah memperakukan kerja-kerja berhubung Projek Pembinaan PPRT dan Rural Transformation Project (RTP),” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sarawak, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini