comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM siasat kilang haram disyaki punca pencemaran di Teluk Gong

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap puluhan kilang haram memproses sisa buangan dan kitar semula termasuk sisa elektronik atau ‘e-waste’ di Teluk Gong, Klang, Selangor yang disyaki menyebabkan pencemaran.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau telah mengarahkan Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus untuk menghantar pegawai penyiasat bagi mendapatkan maklumat berhubung isu tersebut.

“Saya baru tahu pagi ini berhubung dengan maklumat ini. Saya beri jaminan di sini (bahawa) SPRM akan bertindak sekiranya perkara yang tidak dipantau ini ada isu-isu rasuah atau pun salah guna kuasa terutama sekali melibatkan pihak berkuasa atau autoriti, dan kami akan menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai puluhan kilang haram kitar semula plastik dan tayar di Telok Gong berhampiran Pelabuhan Klang yang didakwa menjalankan operasi tanpa diganggu pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 40,000 penduduk sekitar Teluk Gong berdepan masalah pencemaran dan bau busuk dipercayai berpunca daripada kilang haram memproses sisa buangan tanpa melalui proses atau prosedur betul, yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Awal bulan ini, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggempur tujuh kilang memproses ‘e-waste’ yang disyaki dibawa masuk dari luar negara secara haram.

Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM akan meneliti pelbagai aspek lain membabitkan isu terbabit.

“Walaupun tidak ada laporan, itu tidak menjadi masalah kepada kami, yang penting di sini adalah penyaluran maklumat apatah lagi kalau disebut ini betul, kalau sekiranya dah 10 tahun tidak dipantau dan sebagainya.

“Jadi SPRM akan melihat perkara ini kenapa selama 10 tahun tidak dipantau dan kenapa ia berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini