comscore
Tumpuan :
Jenayah

SPRM tahan pegawai penguat kuasa disyaki minta dan terima rasuah RM12,000

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas seorang pemilik restoran yang meletakkan meja dan kerusi tambahan di kawasan parkir kereta restoran tersebut.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 40-an dipercayai ditahan petang semalam, di sekitar Selangor.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak November 2023 hingga kini dan meminta serta menerima bayaran tunai secara bulanan sebanyak kira-kira RM2,000.

“Siasatan juga mendapati suspek dipercayai sering menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp pada setiap bulan kepada pemilik restoran tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini