
KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Pembantu Tadbir Kanan di sebuah agensi Kerajaan Tempatan Negeri Terengganu kerana disyaki menerima rasuah berupa sebuah kenderaan bernilai lebih RM90,000 daripada pemilik syarikat.
Ia sebagai balasan memastikan kerja-kerja pembekalan di agensi berkenaan dari tahun 2017 hingga 2023 yang bernilai RM230,000 diperolehi oleh syarikat tersebut.
SPRM dalam operasi yang sama turut menahan pemilik syarikat berkenaan bagi membantu siasatan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kemaman.
“Suspek dikatakan telah lama menggunakan kenderaan terbabit semenjak 2016,” kata sumber itu lagi.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman esok bagi mendapatkan perintah reman.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, KPKPj Hazrul Shazreen Bin Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.