comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suami isteri antara 3 ditahan bersama 22kg syabu

PASIR GUDANG: Pasangan suami isteri antara 3 ditahan bersama 20 bungkus dadah jenis syabu seberat lebih 22 kilogram bernilai RM705,472 dalam serbuan di sekitar kawasan Seri Alam di sini, pada 18 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata ketiga-tiga suspek termasuk wanita warga asing itu berumur dalam lingkungan 40 hingga 58 tahun ditahan dalam operasi khas Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Beliau berkata, ketika ditahan, dua suspek lelaki berada dalam kereta, manakala suspek wanita itu menunggu di luar kenderaan.

“Modus operandi sindiket ini ialah dadah ditinggalkan dalam kenderaan bersama kunci sebelum seorang individu bertindak sebagai transporter datang membawa kenderaan bersama dadah itu untuk dihantar ke lokasi ditetapkan.

“Selepas urusan penghantaran selesai, kenderaan terbabit akan dipulangkan ke lokasi asal.

“Dalam kes ini, siasatan kita mendapati sindiket terbabit mengambil dadah di Kuala Lumpur dan membawanya ke sini. Dadah itu kemudian dipaket kecil untuk diedarkan bagi pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, hasil saringan urin mendapati semua suspek negatif dadah, tetapi semakan rekod ketiga-tiga mereka mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah.

“Lelaki tempatan berusia 58 tahun dan isterinya wanita warga asing berusia 45 tahun itu dipercayai dalang yang menggerakkan kegiatan transporter sindiket, manakala lelaki berusia 40 tahun itu pula adalah pemandu yang mengambil bekalan dadah.

“Kegiatan sindiket pengedaran dadah ini aktif beroperasi sejak Julai lalu. Selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta Honda Accord bernilai RM45,000.

“Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan seramai 110,230 penagih,” katanya.

Mohd Sohaimi berkata, semua suspek direman 13 hari yang berakhir esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini