comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suami isteri ditahan bersama 10 kg dadah

IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Sitiawan, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek lelaki, 28, yang bekerja sebagai penarik kereta  dan isterinya, 29,  ditahan bersama 10 kilogram dadah.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah, polis telah menjumpai dan merampas dadah yang dipercayai jenis heroin seberat 7,042 gram dan ganja seberat 3,058 gram. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM64,570. Turut dirampas peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah”. katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujian saringan air kencing mendapati pasangan suami isteri itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kedua-dua suspek mula aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini.

Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri ini dan boleh digunakan 15,600 penagih.

Tindakan juga diambil  mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kenderaan, 7 utas rantai, 8 bentuk cincin, 4 pasang anting-anting dan sebentuk subang hidung yang dianggarkan berjumlah RM72,332.60.

Keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita dianggarkan bernilai RM136,332.60.

Kes disiasat mengikut seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 4 Jun hingga 10 Jun ini.

Loading...
Terkini