comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suami isteri mengaku beli senjata api di Thailand, jual kepada warga Israel

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor jam 7.15 malam tadi mengaku membeli senjata di Thailand sebelum dijual kepada lelaki warga Israel.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, siasatan lanjut masih berjalan di semua sudut bagi mengesan mereka yang terbabit dalam kes itu.

Terdahulu, pasangan itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebaik ditahan, polis membawa suspek ke kediaman mereka, juga di Kuala Selangor, sebelum menemukan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas di dalam Honda Jazz milik mereka.

Berdasarkan maklumat sumber, suspek lelaki dipercayai individu bertanggungjawab membekalkan enam pistol kepada lelaki warga Israel yang memasuki negara ini menggunakan pasport Perancis.

Terdahulu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama lelaki warga Israel terbabit memasuki negara ini, selain tujuannya memiliki enam pistol dan 200 butir peluru.

Semalam, tindakan seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara terbongkar selepas dia ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah hotel di Jalan Ampang dekat sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ketika ditahan, dia didapati memiliki enam senjata api bersama 200 butir peluru.

Pemeriksaan di bilik hotel menemukan semua senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Siasatan polis mendapati, semua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini