comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suami, isteri sarat mengandung dipercayai ‘keldai dadah’ ditahan polis

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritenden Rodzi Abu Hassan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada kedua-dua suspek.

Oleh: Kumaran Rajamoney

JITRA: Cubaan sepasang suami isteri menyeludup dadah jenis ganja seberat lebih 10 kilogram (kg) gagal apabila mereka ditahan polis di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, ICQS Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada 7 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritenden Rodzi Abu Hassan berkata penahanan dilakukan sekitar jam 11.50 malam selepas polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Toyota Hilux dengan nombor pendaftaran negara jiran yang dinaiki suspek.

“Ketika pemeriksaan, pihak polis menemukan 10 balutan plastik lutsinar disorokkan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan itu, dipercayai dadah jenis ganja.”

“Semakan mendapati pasangan ini sering melakukan perjalanan di antara Malaysia dan negara jiran, menggunakan kenderaan yang turut mempunyai tangki yang diubahsuai. Tangki ini lazimnya digunakan bagi tujuan penyeludupan minyak bersubsidi,” katanya.

Suspek lelaki berusia 34 tahun, dan isterinya 35, yang sarat mengandung direman sehingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek adalah penganggur dan mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah dan jenayah.

Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM32,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Loading...
Terkini