comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suami larikan diri selepas bakar isteri gunakan petrol

Foto hiasan

GEORGE TOWN: Hanya kerana berselisih faham pasal keluarga, seorang lelaki bertindak membakar isterinya dengan menggunakan petrol.

Kejadian berlaku di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor, pada kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Akibatnya, mangsa, 35, melecur sehingga 27 peratus pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata ketika kejadian keempat-empat anak mereka usia antara 10 hingga 15 tahun berada di rumah.

“Hasil siasatan awal mendapati anak lelaki mangsa berusia 13 tahun mendakwa mereka berada dalam bilik sebelum terdengar pergaduhan antara ibu dan bapa mereka.

“Remaja itu cuba keluar bagi melihat kejadian sebelum menyedari pintu bilik dikunci tetapi masih dapat membukanya,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut Mohd Asri berkata remaja itu kemudian melihat ibunya berada di bahagian belakang luar rumah dalam keadaan badan terbakar manakala suspek cuba padamkan api itu menggunakan kain.

Katanya, suspek yang berusia 36 tahun itu bertindak melarikan diri apabila menyedari api pada badan mangsa semakin merebak.

“Mangsa sempat meminta bantuan anak lelakinya mengambil air bagi memadamkan api itu.

Remaja lelaki berkenaan mengambil air dari bilik air berdekatan dan memadamkan api pada badan mangsa sebelum meminta bantuan daripada jiran bagi menghubungi pihak polis,” katanya lagi.

Mangsa kemudian segera dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Tambah Mohd Asri, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.45 malam.

Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah termasuk pernah mencederakan mangsa.

“Pasangan suami isteri itu merupakan pekerja ladang dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini