comscore
Tumpuan :
Jenayah

Sudahlah Plat Palsu, Bawa Dadah Pula

AMPANG JAYA: Tindakan seorang lelaki menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikalnya dan memiliki dadah mengundang padah apabila ditahan polis tengah malam tadi.

Malah suspek berusia 43 tahun itu memalsukan nombor pendaftaran kenderaannya kerana ingin lari daripada hutang motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis yang sedang menjalankan tugas ronda jenayah Jalan Tasik Tambahan 4/3, di sini, jam 12.15 tengah malam menahan suspek yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Hasil pemeriksaan motosikal berkenaan atas nama suspek dan tidak mempunyai insurans, tetapi mempunyai lesen kenderaan yang sah.

“Pemeriksaan lanjut menemui lima paket lutsinar disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 2.07 gram dan sepaket lutsinar di dalamnya mengandungi ketulan daun mampat disyaki dadah jenis ganja anggaran berat empat gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah syabu.

“Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan direman empat hari hingga 16 September.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan kecil 1955 iaitu memiliki barang yang tidak dapat sahkan,

“Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.- HARIAN METRO

Loading...
Terkini