comscore
Tumpuan :
Jenayah

‘Suka-suka bersauh tanpa kebenaran’

Kapal Kren bersauh tanpa kebenaran disita APMM di perairan Pulau Indah. – FOTO : Ihsan APMM

PELABUHAN KLANG: Bukan hanya gagal mengemukakan dokumen bersauh, tetapi tiga kru warga asing turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Tindakan itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor selepas menahan sebuah kapal kren di perairan Pulau Indah, 1.30 tengah hari, semalam.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, penahanan itu dibuat ketika rutin rondaan Op Ehsan dan Op Benteng Laut 1/2022, pada kedudukan 0.3 batu nautika timur Pulau Indah, di sini.

“Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kren yang tertera nama Awana Salvage itu tidak mempunyai kebenaran bersauh dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Ketika pemeriksaan awal ke atas kapal, kapten tidak berada di atas kapal, pasukan operasi hanya menemukan enam kru, tiga warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina berumur lingkungan 34 tahun hingga 49 tahun.

“Hasil pemeriksaan dokumen mendapati, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada penguat kuasa termasuk dokumen kebenaran bersauh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siva Kumar berkata, siasatan mendapati mereka disyaki melanggar peraturan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran.

“Perintah penahanan ke atas kapal terbabit dikeluarkan dan seorang penyelia serta seorang kru dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini