
Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Seorang suri rumah berputih mata selepas kehilangan wang simpanan sebanyak RM98,670 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai ejen syarikat telekomunikasi di Alor Gajah, di sini akhir bulan lalu.
Dalam kejadian 25 Disember lalu, suri rumah berusia 47 tahun itu menyedari kehilangan wang tersebut selepas menekan satu pautan yang diberikan individu terbabit.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian wanita terbabit berada di rumahnya sebelum menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya daripada ibu pejabat sebuah syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur.
Individu terbabit kata beliau, memaklumkan mangsa terpilih sebagai penerima Bantuan Prihatin sebelum mengarahkan suri rumah itu memasukkan butiran dirinya ke dalam pautan yang diberikan.
“Mangsa kemudian menekan pautan itu sebelum disambung ke satu laman web dan mangsa telah memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaunnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arshad, mangsa turut memasukkan tarikh luput kad pengeluaran mesin automatik (ATM) dan nombor kod yang yang tertera di belakang kad ATM berkenaan.
Selepas melakukan segala yang diminta individu terbabit, kata beliau, mangsa telah melakukan semakan ke akaunnya.
“Mangsa kemudian mendapati wangnya sebanyak RM98,670 telah lesap apabila wang tersebut dimasukkan ke dalam beberapa akaun yang tidak dikenali melalui lapan transaksi,” katanya.
Mangsa ujarnya, membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut kelmarin.
Kes berkenaan tambahnya, disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.
Sehubungan itu, tambahnya, beliau menasihati orang ramai tidak mudah memberikan nombor akaun kepada individu tidak dikenali.
“Orang ramai diminta jangan menekan mana-mana pautan yang diberikan individu tidak dikenali dan memberikan segala maklumat peribadi bagi mengelakkan saspek memancing data ‘phishing’ daripada maklumat akaun yang diberikan,” tegasnya.