comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suri rumah rugi RM100,000 terpedaya pelaburan janji keuntungan 50 peratus 

Foto hiasan

MUAR: Seorang suri rumah kerugian RM100,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan hingga 50 peratus.

Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa berminat menyertai skim pelaburan yang diiklankan di Facebook pada 14 Mac selepas menghubungi pihak yang membuat iklan di media sosial.

“Suspek mendakwa pelabur mampu meraih keuntungan hingga 50 peratus dalam tempoh sebulan melabur,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, susulan itu mangsa telah bertemu dengan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun yang mendakwa mewakili syarikat pelaburan berkenaan.

Ujarnya lagi, wanita terbabit menjelaskan skim pelaburan berkenaan dan mangsa akhirnya bersetuju menandatangani perjanjian secara dalam talian.

“Mangsa kemudian melakukan sembilan transaksi kewangan bernilai RM100,000 ke satu akaun bank di bawah nama sebuah syarikat,” tambahnya.

Apabila mangsa tidak menerima maklum balas daripada syarikat itu, dia membuat laporan polis semalam.

Difahamkan Facebook yang memuatnaik iklan pelaburan terbabit juga tidak lagi aktif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini