Tumpuan :
Jenayah

Suruh pasang CCTV, pekerja sendiri curi cincin di kedai emas

Suspek lelaki berusia 41 tahun yang ditahan bersama barang rampasan selepas disyaki mencuri cincin emas milik majikannya di sebuah kedai emas di Taman Daya, minggu lalu. FOTO NSTP/IHSAN POLIS

JOHOR BAHRU: Seorang pekerja kedai emas yang diarahkan oleh majikannya untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu didapati mencuri sebentuk cincin emas sebelum perbuatannya dirakam CCTV yang dipasangnya itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semakan CCTV di premis kedai emas dekat Taman Daya itu membolehkan pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu, semalam.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada 16 November lalu, yang mana suspek telah diarah oleh majikannya untuk memasang CCTV, namun menerusia rakaman CCTV itu, didapati suspek telah mencuri sebentuk cincin emas seberat 16.01 gram bernilai RM5,814.32.

“Suspek kemudian telah memajak cincin itu di sebuah kedai emas sekitar daerah ini dan memperoleh hasil sebanyak RM4,950,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Raub, bertindak atas maklumat, suspek ditangkap di Ulu Tiram, semalam bersama barang rampasan termasuk baju, seluar, kasut dan surat pajak gadai.

Katanya, hasil semakan, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Pada masa sama, Raub menegaskan komitmen pihaknya untuk terus memerangi jenayah dan menyeru orang ramai melaporkan sebarang aktiviti jenayah untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian curi boleh menghubungi terus di talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini