comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek cuba rampas senjata polis direman empat hari

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Lelaki yang cuba merampas senjata anggota polis dan menyerangnya dengan topi keledar di Balai Polis Dato Keramat, di sini, awal pagi tadi ditahan reman selama empat hari sehingga 22 Mei.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan dua kesalahan dadah.

Katanya, suspek ke Balai Polis Dato Keramat pada jam 4 pagi di bawah pengaruh alkohol dan mengarahkan anggota bertugas untuk membuka pintu pagar sambil memaki hamun dengan kata-kata kesat.

“Anggota polis telah memberi amaran dan menasihati suspek agar beredar meninggalkan kawasan balai.

“Namun suspek tidak menghiraukan nasihat dan amaran yang diberikan, sebaliknya terus menghampiri anggota bertugas dan cuba merampas senjata api jenis HK MP5 yang disandang oleh anggota tersebut, tetapi berjaya dihalang.

“Suspek kemudiannya mengambil topi keledar dan cuba menyerang anggota bertugas sehingga menyebabkan berlakunya pergelutan semasa proses tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujian saringan awal air kencing mendapati negatif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 90 Akta Polis 1967.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini