Tumpuan :
Jenayah

Suspek curi jam tangan Rolex ditahan polis

Foto hiasan

SUBANG JAYA: Seorang lelaki yang disyaki mencuri jam tangan Rolex di sebuah kedai menjual barangan berjenama di SS 16, di sini, baru-baru ini, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki tempatan berusia 44 tahun terbabit ditahan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, pada 4.15 petang.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati jam tangan berkenaan sudah dijual di sebuah kedai jual beli barangan berjenama di Kuala Lumpur dengan harga RM25,000.

“Dengan dipandu arah oleh suspek, pihak polis berjaya merampas jam tangan berkenaan. Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri di dalam bangunan.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan permohonan reman terhadap suspek, hari ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut terhadap suspek yang juga penganggur itu.

Sebelum ini, media melaporkan, kedai menjual barangan berjenama kerugian RM64,000 selepas seutas jam tangan Rolex dicuri seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan pada 23 November lalu.

Wan Azlan dilaporkan berkata, pekerja wanita memaklumkan didatangi seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan ketika dia bersama rakan sedang membuka kedai, pada 10.40 pagi.

Beliau dipetik berkata, suspek mencuri jam tangan berkenaan ketika pekerja itu sedang bercakap di telefon dan terus melarikan diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini