MUAR: Enam lelaki yang melarikan diri sejauh 180 kilometer (km) dengan menaiki pacuan empat roda (4WD), selepas dikejar polis dari daerah ini sehingga ke Kuala Lumpur direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini.
Perintah reman ke atas semua suspek berusia antara 25 hingga 35 tahun dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, suspek yang ditahan di Damansara pagi tadi, tiba di mahkamah pada jam 1.30 tengahari untuk mendapatkan perintah reman.
Suspek menaiki sebuah 4WD jenis Toyota Hilux hitam melarikan diri selepas dikejar dari persimpangan lampu isyarat di Jalan Bakri, di sini, 2.45 pagi semalam.
Mereka memecut 4WD yang dipinjam untuk mengelak dari ditahan polis selepas didapati melanggar lampu isyarat.
Ketika melarikan diri, suspek didapati memandu dalam keadaan berbahaya termasuk melakukan aksi ‘zig-zag’ hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sebaik tiba di ibu kota, suspek berjaya meloloskan diri dengan memanjat tebing tinggi dan dengan bantuan polis, kesemua mereka berjaya ditahan.
Ketika ditahan, polis turut menemui peralatan digunakan untuk mencuri kabel dalam kenderaan dinaikinya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.