comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek ditahan guna dokumen palsu mohon kerja

Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman.

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang lelaki kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu bagi mendapatkan pekerjaan di sebuah yayasan di bawah kerajaan Negeri Terengganu.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki telah mengemukakan dokumen surat makluman status penyiasatan SPRM yang mempunyai pengisytiharaan status siasatan yang palsu menggunakan nama Pengarah SPRM Terengganu sedangkan dokumen tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh SPRM Terengganu.

Menurut sumber, suspek turut disyaki membuat satu akuan berkanun yang palsu bagi melayakkannya mendapat pekerjaan tersebut.

Suspek lelaki usia sekitar 40-an ditahan pada jam 1.45 petang kelmarin ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM Terengganu di sini.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Permohonan reman dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mahkamah mengeluarkan perintah reman ke atas suspek selama 6 hari bermula hari ini sehingga Rabu depan dan akan ditahan reman di lokap SPRM Terengganu.

Kes disiasat di di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini