comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek Edar Dadah Dicekup

Dua pengedar dadah dicekup selepas cuba melanggar dua kereta peronda polis (MPV) untuk meloloskan diri.

Dua suspek berusia 28 dan 41 tahun itu berjaya ditahan di hadapan salah sebuah sekolah di Besut, jam 3.30 kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, dalam kejadian itu pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut membuat penahanan itu hasil risikan maklumat awal kes berkaitan dadah.

Dalam pemeriksaan itu, polis merampas lima paket plastik warna biru berisi pil warna merah dan hijau disyaki dadah jenis methamphetamine atau yaba berjumlah 1,000 biji seberat 100.90 gram dengan nilai anggaran RM3,500 serta kereta Honda dinaiki suspek.

Ujian saringan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan dadah.

Kedua-dua suspek dipercayai sebelum ini dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak dua tahun lalu dan bekalan untuk pasaran sekitar daerah ini.

Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula hari ini sehingga 8 Mac ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Loading...
Terkini