comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek kedua kes simbah asid dibebaskan dengan jamin polis

KUALA LUMPUR: Suspek kedua yang ditahan Isnin lalu berhubung kes simbah asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, dibebaskan hari ini.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam kenyataan berkata, suspek dibebaskan dengan jamin polis setelah proses soal siasat ke atasnya selesai.

Kata kenyataan itu, suspek boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk membantu siasatan dalam kes ini sekiranya diperlukan oleh pihak polis.

“Tiada sebarang pengakuan daripada suspek dan siasatan masih dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan suspek lain serta mendapatkan keterangan lanjut dalam kes ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan suspek kedua berusia lewat 30-an itu diberkas di Bandar Baru Bangi, Isnin lalu sebelum direman lima hari bagi membantu siasatan polis.

Semakan polis mendapati suspek yang bekerja sendiri itu mempunyai tujuh rekod lampau antaranya mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (sengaja menyebabkan kecederaan), Seksyen 395 (rompak berkumpulan), Seksyen 507 (ugutan), Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum itu, polis menahan seorang lelaki berusia 20-an di Pandan Indah, Ampang pada Ahad malam lalu namun dibebaskan selepas direman dua hari kerana siasatan mendapati dia tiada kaitan dengan kes itu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, hari ini dilaporkan berkata polis kini sedang dalam proses menghasilkan lakaran fotofit suspek.

Katanya, lakaran fotofit itu berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Selain itu, katanya polis sudah merakam keterangan lebih 12 individu bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini