comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek kes belasah warga emas ditahan

ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Polis menahan seorang suspek kes buli jalan raya melibatkan warga emas.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata suspek, lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang juga peniaga sendiri itu ditahan pada jam 5 petang semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang.

Menurutnya, permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret Sepang bermula hari ini sehingga Jumaat.

Katanya, suspek mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB).

 

30 Januari lalu polis menerima laporan daripada seorang warga emas usia 73 tahun telah dipukul seorang lelaki di hadapan sebuah klinik swasta di Taman Tasik Puchong Prima.

Wan Kamarul berkata ketika kejadian pengadu memandu kereta dari arah Brickfields ke Putra Perdana untuk bertemu rakan.

Menurutnya, ketika berada di Puchong Prima pengadu telah dipukul kerana dikatakan tidak memberi lampu isyarat ketika membelok di simpang jalan.

Katanya, suspek turut mengeluarkan perkataan kesat ‘engkau ni bodoh, tak pandai bagi signal’ lalu memukul di bahagian muka, kepala dan rusuk mangsa.

“Selepas meneruskan perjalanan, suspek terus mengekori mangsa dan ketika tiba di hadapan kedai bakeri di Putra Perdana kira-kira satu kilometer dari lokasi sebelumnya kenderaan mangsa telah disekat dan suspek sekali lagi menarik mangsa keluar dari kenderaan lalu menumbuk di bahagian mata dan menendang badan mangsa bertubi-tubi,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan bengkak di bahagian kepala, lebam mata kiri dan patah tulang pipi kiri serta patah tulang mata kiri.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun dan denda.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menyaksikan kejadian itu boleh menyalurkan maklumat kepada balai berdekatan atau menghubungi IPD Sepang di talian 03- 8774222 bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini