comscore
Tumpuan :
Jenayah

Suspek kes curi kereta di parkir valet Suria KLCC ditahan 

 

KUALA LUMPUR: Suspek kes curi kereta di parkir valet pusat beli-belah ibu negara, Suria KLCC, berjaya ditahan polis.

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan rasmi pihak pengurusan Suria KLCC yang dimuatnaik di Facebook rasmi mereka.

“Dukacita dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku di operator parkir valet Suria KLCC.

“Kenderaan yang diamanahkan kepada perkhidmatan valet telah dicuri walaupun diletakkan dengan selamat oleh pekerja valet.

“Bagaimanapun, selepas dimaklumkan, kami segera melancarkan siasatan menyeluruh dan bekerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, bersama-sama polis, pihaknya menyemak rakaman kamera tertutup (CCTV) yang mendedahkan bahawa seorang individu yang tidak dikenali memasuki kereta dan memandunya pergi manakala kunci kereta disimpan dengan selamat di kaunter valet.

“Menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem GPS kereta, suspek berjaya ditahan,” katanya.

Menurutnya, ia adalah peristiwa yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk pengendali perkhidmatan letak kereta valet pusat beli-belah terkenal itu.

“Kami komited untuk menyemak dan mengukuhkan lagi penguatkuasaan prosedur operasi standard pengendali parkir valet untuk mengelakkan sebarang insiden pada masa depan.

“Keselamatan pelanggan kami tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Sebelum ini, pemilik kenderaan itu dikenali sebagai Zach Khai Shin memuat naik kejadian itu di Facebook semalam apabila dia mendapati keretanya hilang ketika diletakkan di parkir valet.

Katanya, kejadian itu disedari selepas 30 minit dirinya berada di pusat beli-belah itu.

“Saya baru berhenti 30 minit dan masuk berjalan-jalan. Saya keluar dan diberitahu saya kereta sudah hilang.

“Kunci masih ada tetapi kereta sudah tiada. Nasib baik kereta ada GPS dan mendapati kereta itu dibawa ke kawasan Subang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini