comscore
Tumpuan :
Jenayah

Syabu bernilai lebih RM3 juta ditemui dalam 5 bungkusan plastik hitam

PADANG BESAR: Keberadaan misteri lima bungkusan plastik berwarna hitam di laluan keselamatan PB19 Padang Besar membongkar kepada penemuan 98.3 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3,243,900 pada Isnin lalu.

Kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi ketika sepasukan polis yang terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota dari Pasukan Gerakan Am(PGA) Batalion 3 Bidor, Perak sedang menjalankan rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di laluan keselamatan itu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, ketika rondaan dilaksanakan, anggota PGA bertugas menemui lima bungkusan plastik hitam dibiarkan di kawasan itu.

“Apabila diperiksa mendapati terdapat beberapa guni berwarna putih diletakkan dalam plastik hitam itu.

Lokasi lima bungkusan plastik berwarna hitam itu ditemui di laluan keselamatan PB19 Padang Besar sempadan Malaysia-Thailand.

“Pemeriksaan selanjutnya di dalam guni berkenaan pula membongkar kepada penemuan 93 peket teh cina berwarna kuning dimana isinya pula mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 98.3 kg.

“Sebelum itu, anggota PGA bertugas membuat pemantauan dan pemerhatian selama tiga jam di laluan itu dan mendapati sebarang pergerakan individu yang menghampiri plastik berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, polis kemudian membawa syabu berkenaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan selanjutnya.

“Kita percaya bahawa syabu itu cuba diseludup ke negara ini menggunakan ‘laluan tikus’ menerusi lubang pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di kawasan Padang Besar yang sudah dipotong oleh anggota sindiket penyeludupan.

Beliau berkata, rampasan syabu berkenaan dianggarkan bernilai RM3,243,900.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini