comscore
Tumpuan :
Jenayah

Taktik seludup dadah guna tayar ganti tumpas, polis rampas syabu bernilai RM350,000

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Polis Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, dengan penahanan dua lelaki warganegara Thailand pada Khamis lalu di Ayer Hitam dekat Jitra.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata sindiket itu menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah dalam tayar ganti kenderaan pick up, bagi memperdaya pihak berkuasa.

Suspek katanya dikesan menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux oleh sepasukan pegawai polis dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibupejabat Polis Kontijen, sekitar jam 11 malam di Jalan Kampung Baru Balai Pos.

“Selepas menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku bergelutan.

Hasil pemeriksaan dalam kenderaan dinaiki suspek menemukan dadah didalam tayar ganti yang tergantung di bahagian bawah tempat letak barang.”

“Dadah jenis syabu disembunyikan di dalam tayar itu menggunakan 10 bungkusan plastik berwarna hijau, dengan anggaran berat keseluruhan lebih 10.6 kilogram. Dadah bernilai hampir RM350,000 ini adalah untuk pasaran sekitar negeri ini.”

Kedua-dua suspek berusia 25 dan 41 tahun itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine, dan direman selama 7 hari bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Loading...
Terkini