comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tangkap ikan guna bahan letupan, dua nelayan ditahan

 

Foto APMM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Dua nelayan tempatan ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah bahan letupan di kedudukan 0.1 batu nautika barat daya Pulau Sepanggar, di sini semalam.

Kedua-dua suspek lelaki masing-masing berusia lingkungan 30 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu, kira-kira jam 7 malam.

Foto APMM Sabah

Pengarah APMM Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, turut dirampas ialah peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan (Spear Gun) yang dibawa kedua-dua suspek terbabit.

“Ketika rondaan dijalankan, APMM mengesan sebuah bot nelayan tempatan dikendali seorang juragan dan seorang kru bot warga tempatan dalam keadaan mencurigakan.

Foto APMM Sabah

“Hasil pemeriksaan mendapati, nelayan ini melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua nelayan kemudian diringi masuk ke jeti Maritim Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Susulan itu beliau berkata, komuniti maritim diminta untuk tidak melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan bahan letupan.

Foto APMM Sabah

Katanya, aktiviti seperti ini akan memusnahkan ekosistem laut serta memusnahkan batu-batu karang yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut.

“Saya juga mengingatkan bahawa penggunaan peralatan seperti Spear Gun boleh menyebabkan kecederaan parah dan mengakibatkan maut.

“Komuniti maritim dinasihatkan untuk menggunakan peralatan yang dibenarkan sahaja dan mendapatkan lesen bagi pengunaan alat berkenaan.

“APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu mahupun pihak yang cuba menghalang pegawai Maritim Malaysia dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya.

Loading...
Terkini