comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tawar pinjaman wang tanpa lesen, dua ditahan

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun

KOTA BHARU: Dua lelaki ditangkap kerana disyaki menawarkan pinjaman wang tanpa lesen menerusi Op Vulture, kelmarin.

Mereka yang berusia 29 dan 39 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, pada jam 10 pagi kelmarin, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menahan sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kelocor, di sini.

“Pihak polis menahan seorang suspek berusia 39 tahun dan merampas sebuah telefon bimbit dan satu simkad disyaki digunakan untuk aktiviti pernigaan pinjaman wang tanpa lesen.

“Susulan daripada tangkapan pertama, lebih kurang 4 petang hari yang sama, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di Taman Koperasi Jalan Long Yunus, di sini bersama telefon bimbit dan simkad,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen sejak tahun 2019 yang membabitkan mangsa atau peminjam daripada daerah Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Rampasan dua buah telefon bimbit sudah dibuat dan dikenal pasti digunakan bagi tujuan memberi pinjaman tanpa lesen kepada orang awam.

“Pihak polis menasihatkan orang awam agar berhati-hati dan tidak terjebak dengan pinjaman wang tanpa lesen kerana akan memberikan kesan yang buruk kepada peminjam, keluarga dan orang sekeliling peminjam.

“Polis Kelantan juga kini dalam gerak kerja menggempur sindiket ah long secara habis-habisan dan kami tidak akan berkompromi terhadap kumpulan pinjaman wang tidak belesen serta individu yang terbabit membantu seperti aktiviti pemungut hutang, pengedaran risalah, poster, kad pinjaman atau sepanduk berkaitan promosi atau iklan pinjaman wang,” katanya.

Loading...
Terkini