comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tekong Terjun Bot Tinggal Syabu, Ganja Dalam Tong Minyak

 

KUALA PERLIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia merampas syabu dan ganja bernilai RM150,000 yang ditinggalkan di Pulau Ketam, berdekatan perairan Kuala Perlis pada 4.30 pagi Sabtu.

Dadah terbabit ditemui di dalam sampan, manakala tekongnya terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan paya bakau.

Pengarah Maritim Kedah & Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya terserempak dengan bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan, pada kedudukan 0.18 batu nautika dari barat Pulau Ketam.

Sebaik cuba dipintas, suspek menukar haluan ke arah paya bakau dan terjun ke laut. Pemeriksaan membawa kepada penemuan 10 ketulan mampat ganja seberat 10 kg dan syabu seberat 2 kg yang disorokkan di dalam tong minyak.

“Kita nampak di bahagian dasar ataupun bahagian bawah (bot kayu) itu dipotong dimasukkan dadah atau pun ganja ini melalui bahagian bawah bagi mengaburi mata penguatkuasa. Kalau kita memeriksa keseluruhan (bot kayu) mungkin kita tidak akan jumpa,” katanya kepada pemberita.

Maritim percaya, modus operandi sindiket adalah bergerak ketika waktu cuaca buruk, kerana beranggapan tiada rondaan pihak berkuasa.

Selain itu, bot enjin bergalah panjang atau ekor biawak yang digunakan suspek, membolehkan dia bergerak walaupun di kawasan yang cetek.

Dadah yang dirampas dipercayai dari negara jiran untuk kegunaan lebih 10,000 penagih. Keseluruhan rampasan termasuk sampan bernilai 156 ribu ringgit. Kes disiasat dibawah Seksyen 39 kurungan B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini