comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tekup bayi dengan bantal hingga maut, pengasuh TASKA direman 7 hari 

Suspek pengasuh direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia 8 bulan di sebuah TASKA.-Foto: NSTP

MELAKA: Pengasuh sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak TASKA di Kelemak di sini, direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia di premis berkenaan, pagi semalam.

Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri mengeluarkan perintah reman ke atas wanita berusia 34 tahun itu selepas dipohon pegawai penyiasat polis bagi mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau menetapkan tempoh reman bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh,jam 9.30 pagi dengan diiringi anggota polis.

Ketua Polis Daerah Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, permohonan reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, suspek yang juga ibu tiga anak berusia dua, enam dan lapan tahun itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kira-kira 3.30 petang semalam di TASKA terbabit.

Menurutnya, tangkapan dibuat selepas menerima satu laporan daripada pihak Hospital Alor Gajah memaklumkan seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mengikut laporan, mangsa dihantar ke TASKA oleh datuk dan ibunya pada jam 7.05 pagi, namun pada 9.05 pagi, pihak TASKA menelefon si ibu memberitahu bahawa tubuh bayi berkenaan dalam keadaan biru.

“Datuk dan ibu mangsa terus ke TASKA dan mendapati muka bayi berkenaan sudah menjadi biru dan hidungnya berdarah serta mangsa dalam keadaan terkulai,” katanya kepada pemberita.

Media semalam melaporkan bapa kepada kanak-kanak itu, Mejar Ir TS Mohd Fikry Amri Abd Halim,39, terkilan dan sedih kerana mangsa didakwa dibedung, disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup dengan bantal oleh suspek.

Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi mendakwa perbuatan pengasuh di TASKA itu terhadap bayinya, Muhammad Al Fateh Mohd Fikry Amri dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini