comscore
Tumpuan :
Jenayah

Terima rasuah RM16,000, penjawat awam wanita ditahan SPRM

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM16,000 untuk kelulusan pecah bahagian tanah di salah sebuah Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini.

Sumber memberitahu, suspek perempuan berusia lingkungan 40-an dipercayai ditahan kira-kira jam 2 petang tadi di pejabat SPRM cawangan Kuala Selangor ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada tiga pemilik tanah di sekitar daerah tersebut yang ingin memohon kelulusan pecah bahagian tanah.

“Siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM16,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya pada tahun 2022,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Selangor esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini