comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga beradik antara 9 ditahan jadikan rumah sewa stor dadah

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, menunjukkan rampasan dadah dan senjata api hasil empat serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, Seri Alam dan Kota Tinggi. – foto NSTP

JOHOR BAHRU: Tiga beradik antara sembilan individu ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sejak Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tiga beradik yang ditahan membabitkan seorang lelaki dan dua wanita.

Kesemua sembilan suspek diberkas dalam empat serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, Seri Alam dan Kota Tinggi, antara jam 2 pagi hingga jam 9.30 pagi semalam.

Katanya, polis turut merampas dadah, senjata api dan rokok.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa beberapa rumah untuk dijadikan stor simpanan dadah sebelum mengedarkannya ke pasaran tempatan.

“Dadah yang dirampas adalah 28 ketulan mampat ganja seberat 27.55 kilogram (kg), empat paket heroin (1.81 kg), enam paket syabu (2.02 kg), sepaket ketamin (597 gram), 540 biji pil yaba (81 gram) dan 353 bijil pil ekstasi (106 gram).

“Semua dadah yang dirampas bernilai RM231,462.40 dan dipercayai diperoleh dari utara negara ini. Sindiket menyasarkan jualan untuk pasaran tempatan seperti di kawasan kampung dan Felda,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, tadi.

Menurutnya, polis turut merampas lima pucuk senjata api pelbagai model 136 butir peluru dan 111 karton rokok seludup selain menyita motosikal, empat kereta pelbagai jenis, enam barang kemas pelbagai jenis serta wang tunai berjumlah RM126,000.

“Kami akan menyiasat bagi mengenal pasti sama ada terdapat tembakan yang pernah dilepaskan daripada semua senjata api yang tulen ini.

“Semua nilai barangan yang disita bernilai RM305,200 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi operasi ini sebanyak RM536,662.40,” katanya.

Kesemua suspek yang berusia antara 22 hingga 36 tahun itu direman enam hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 33 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Loading...
Terkini