comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Tiga beradik disyaki didera ibu lari dari rumah dengan kaki dirantai

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

 

KANGAR: Tiga beradik dipercayai mangsa dera ditemui dengan kaki yang masih berantai di tepi titi, jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat, di sini.

Kanak-kanak berusia 13 hingga 16 tahun itu ditemui penduduk yang kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis jam 10.55 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop.

Bercakap kepada Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata dua daripada mangsa dirantai bersama di bahagian kaki manakala seorang lagi tidak dirantai.

“Kanak-kanak ini dipercayai telah dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka.

“Kanak-kanak ini telah melarikan diri dari rumah kerana dipercayai tidak tahan diperlakukan sedemikian namun lain-lain maklumat belum diperolehi kerana mereka enggan bercakap,” katanya ketika dihubungi.

Ujarnya, dua daripada mangsa memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pendengaran dan pembelajaran.

Seorang lagi mangsa yang berusia 16 tahun didapati mempunyai kesan luka lama pada kedua-dua belah tangannya.

Kesemua mangsa dibawa menjalani pemeriksaan di hospital dan setakat ini disahkan stabil.

Mereka juga tidak menunjukkan sebarang trauma atau ketakutan.

Polis telah menahan seorang wanita dipercayai ibu mereka berusia 46 tahun bersama seorang lelaki berusia 31 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kedua-dua mereka direman selama 7 hari bermula hari ini sehingga 31 Mac depan.

Loading...
Terkini