comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga ‘bookie’ judi bola sepak Euro 2024 dicekup

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang dipercayai menjadi ‘bookie’ judi bola sepak Euro 2024 ditahan menerusi Op Soga X dalam dua serbuan berasingan sekitar Cheras di sini, bermula kelmarin.

Operasi bermula jam 11.50 malam, kelmarin dan berakhir 1.20 pagi tadi dijalankan oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) polis Kuala Lumpur bersama pasukan D7 polis daerah Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Ravindar Singh Sarban Singh, berkata serbuan dilaksanakan di dua lokasi iaitu di Jalan Lima Chan Sow Lin dan Jalan Jejaka 7, Cheras.

Katanya, dalam serbuan di lokasi pertama, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun dan merampas satu telefon bimbit miliknya.

“Dalam serbuan kedua, kita menahan dua lelaki tempatan berusia 40 dan 44 tahun dan kita turut merampas dua telefon bimbit milik kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga suspek berperanan sebagai ‘bookie’ pertaruhan untuk perlawanan bola sepak Euro 2024 dan bergerak secara bersendirian.

“Mereka menggunakan aplikasi perjudian dalam talian dan membuka pertaruhan kepada mana-mana pihak yang berminat,” katanya.

Tambah Ravindar Singh, semakan ke atas telefon bimbit kesemua suspek menemui aplikasi pertaruhan bola sepak selain sejarah perbualan mengenai pertaruhan perlawanan.

Selain itu, katanya ketiga-tiga suspek ini dipercayai bergerak sendirian sebagai ‘bookie’ bagi mengelak perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Suspek warga asing kini direman empat hari bermula semalam sehingga 28 Jun ini, manakala dua lagi suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Dalam pada itu, Ravindar Singh menasihatkan orang ramai tidak terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian haram dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti sedemikian untuk melaporkan kepada pihak polis.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini