comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga lagi ditahan kes larikan lelaki secara salah

Tangkap layar beberapa individu menolak mangsa ke dalam Perodua Viva sebelum melarikannya. -Foto tular

ALOR SETAR: Tiga lagi suspek ditahan polis  berkaitan kes melarikan seorang pemuda berusia 27 tahun di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, Mergong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua suspek ditahan antara jam 7 malam hingga 9 malam tadi di tiga lokasi sekitar Changlun, Jitra dan Alor Setar selepas tangkapan pertama pagi semalam.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu berusia 39, 40 dan 42 tahun termasuk seorang wanita yang didapati positif dadah.

“Ini menjadikan jumlah tangkapan berhubung kes setakat ini adalah empat orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, reman terhadap tiga tangkapan itu bermula hari ini sehingga 1 Mei ini.

Mangsa juga sudah ditemui dan setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan.

Semalam, media melaporkan polis menahan seorang suspek disyaki melarikan seorang lelaki secara salah bersama beberapa individu di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana.

Video berdurasi 41 saat itu ditular di Facebook menunjukkan beberapa individu menolak mangsa ke dalam Perodua Viva di lokasi kejadian.

Loading...
Terkini