comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga lelaki pukul pemandu e-hailing ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki yang memukul seorang pemandu e-hailing dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, di sini, pada 26 Februari lalu, ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, tiga suspek berkenaan ditahan di sekitar ibu kota ini kira-kira jam 5 petang, semalam.

“Mereka yang ditahan berusia antara 38 hingga 43 tahun dipercayai berada di lokasi ketika kejadian.

“Kawad cam telah dilakukan oleh mangsa terhadap ketiga-tiga suspek dan mereka akan dituduh di mahkamah, hari ini, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengesan tiga lelaki yang memukul seorang pemandu e-hailing dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, di sini, pada 26 Februari lalu.

Zam Halim dipetik berkata, pihaknya mengesan rakaman video kejadian itu yang tular di media sosial jam 11.30 pagi pada 29 Februari lalu.

Katanya, semakan dilakukan mendapati rakaman berdurasi empat minit dua saat itu yang memaparkan seorang pemandu e-haling dipukul tiga lelaki berlaku jam 6.30 petang pada 26 Februari lalu.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa hampir melanggar seorang penunggang motosikal ketika hendak mengundurkan keretanya.

Menurutnya, penunggang motosikal itu kemudian menunjukkan jari tengah sebagai tanda tidak berpuas hati sebelum beredar dari lokasi kejadian.

“Beberapa minit kemudian, mangsa didatangi tiga lelaki tempatan dari gerai tepi jalan yang memarahi mangsa dengan alasan bersikap biadap terhadap penunggang motosikal.

“Ketiga-tiga suspek bertindak memukul dan mencederakan mangsa. Pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini