comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Tiga lelaki serang pemandu ambulans ditahan

KUALA SELANGOR: Tiga lelaki termasuk remaja ditahan kerana menyerang pemandu ambulans yang sedang membawa seorang pesakit wanita di sebuah pasar raya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa dalam satu kenyataan memberitahu ketiga-tiga suspek berusia 17 hingga 35 tahun ditahan pada jam 11 malam tadi di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, penahanan itu susulan laporan dibuat Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tanjong Karang berusia 27 tahun.

“Pada jam 8.40 malam tadi, pengadu menerima panggilan berhubung seorang wanita yang cedera di sebuah pasar raya.

“Pada jam 9 malam, pengadu tiba di lokasi dan ketika dalam perjalanan membawa pesakit ke ambulans, didapati ada pihak yang menyerang pemandu ambulans,” katanya .

Ramli berkata, susulan laporan itu polis menahan tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian itu.

“Punca kecederaan wanita dan punca kejadian masih dalam siasatan. Permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat pagi ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 32 saat memaparkan petugas kesihatan yang dihalang ketika membawa seorang pesakit yang cedera. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini