comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tipu khidmat bersih rumah, jualan barang kemas tidak wujud, 2 individu ditahan

FOTO: Ihsan PDRM

Oleh Naim Fitri Abu Bakar

BALIK PULAU: Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penipuan dalam urusan perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud melalui laman sosial Facebook sehingga membabitkan kerugian RM113,238.61 dalam kejadian baru-baru ini.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, lelaki berusia 20-an itu ditahan di Kamunting, Perak semalam hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya.

Dalam kenyataan itu, polis turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara atau Macau dan Love Scam serta parcel scam melalui media sosial.

”Pihak polis juga menyarankan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di aplikasi Google Play semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, polis turut menahan seorang wanita berusia 23 tahun kerana disyaki menjadi ejen jualan yang menjalankan urusan jual beli barang kemas yang tidak wujud melalui dalam talian.

“Tangkapan dilakukan di Taiping, Perak melibatkan kes yang dilaporkan pada 6 Februari 2022.

“Hasil semakan lanjut mendapati, suspek ialah ejen jualan yang berurusan dengan mangsa dalam urusan penjualan barangan kemas yang tidak wujud melalui dalam talian,” katanya.

Tambahnya, suspek juga telah membuat ugutan kepada mangsa untuk membatalkan pembelian dan semua wang pembayaran tidak akan dipulangkan jika mangsa tidak membuat pembayaran pada masa ditetapkan.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah RM39,600 dan kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini