Tumpuan :
Jenayah

Tubuh dalam bagasi dipercayai warga asing, tiada tanda BCG

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan mayat berulat ditemukan dalam sebuah bagasi di Taman CP6, Cheras Perdana, di sini, adalah lelaki warga asing susulan tiada tanda suntikan BCG ditemui.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Serdang hari ini di mana mangsa adalah lelaki berusia dalam 20-an.

Menurutnya, hasil bedah siasat itu mendapati lelaki itu mempunyai ketinggian 155 sentimeter (sm) dan berat 45 kilogram (kg) berkulit cerah, tiada tatu atau tanda lain di badannya.

“Turut tiada tanda suntikan BCG dan mangsa tidak bersunat selain ketika ditemui dia berpakaian baju serta seluar pendek floral warna hijau.

“Badannya juga dalam keadaan utuh dan sempurna serta memakai cincin warna perak di jari kanan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Hussein berkata, tiada kecederaan lain ditemui selain hanya tulang hidung patah.
“Punca kematian tidak dapat disahkan dan menunggu keputusan makmal.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah lelaki warga asing namun siasatan masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, mayat juga dimuat ke dalam bagasi itu dengan melipat tubuh badan mangsa.

“Pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

Semalam, mayat berulat yang ditemukan dalam sebuah bagasi di Taman CP6, Cheras Perdana, di sini adalah seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan 11.45 pagi berhubung penemuan sebuah bagasi berbau busuk daripada orang awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini