comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tujuh Individu Ditahan Terbabit Pergaduhan

Foto hiasan.

AMPANG JAYA: Polis menahan tujuh individu tempatan termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di sebuah medan selera di Taman Dato Razali, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku ketika pengadu iaitu lelaki tempatan berusia 22 tahun datang ke medan selera berkenaan jam 10.40 malam tadi untuk berjumpa suspek.

Katanya, suspek berusia 22 tahun itu adalah teman lelaki kepada bekas teman wanita pengadu.

“Semasa perbincangan, suspek bertindak menumbuk pengadu beberapa kali di bahagian muka.

“Rakan-rakan pengadu dan suspek kemudian turut masuk campur sehingga tercetusnya pergaduhan.

“Akibat kejadian itu, pengadu dan suspek masing-masing mengalami kecederaan luka di tangan kanan dan sakit di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya menahan enam lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 18 hingga 23 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu jam 1.10 pagi tadi.

“Hasil siasatan awal dilakukan mendapati pergaduhan itu berpunca akibat kata-kata kesat dan saling mengejek antara pengadu dengan suspek.

“Enam suspek lelaki direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Oktober nanti, manakala seorang suspek wanita direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini