comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tukang cat ditahan bakar wanita Rohingya

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Seorang tukang cat ditahan polis kerana disyaki terbabit kes membakar seorang wanita warga Rohingya sehingga melecur di padang permainan Kampung Cheras Baru, Cheras, di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun itu ditahan di Ampang, dekat sini, malam semalam.

“Siasatan mendapati suspek disyaki terbabit kes itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada suami mangsa.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di padang permainan Kampung Cheras Baru, Cheras ketika mangsa pergi ke padang permainan berkenaan untuk mengambil anak lelakinya yang berusia dua tahun.

Mangsa bagaimanapun terserempak dengan dua lelaki warga asing yang dikenalinya dengan kedua-duanya ketika itu dikatakan dalam keadaan mabuk.

Salah seorang suspek kemudian mengarahkan wanita itu membeli petrol yang diisi ke dalam botol.

Tanpa disangka mangsa, suspek bersama rakannya telah menyimbahkan petrol itu ke atas wanita berkenaan dan menyalakan api sebaik mangsa menyerahkan botol berisi petrol itu kepada suspek.

Insiden mengakibatkan wanita itu melecur di muka dan badan, manakala anaknya cedera ringan.

Suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini